Friends

SALAM SILATURRAHIM

Assalammualaikum wbt,

" Dengan nama Allah yg maha pengasih lagi maha penyayang. Rahmatilah keatas penghulu kami Muhammad dengan bilangan rahmat sebagaimana dalam ilmu Allah, rahmat yg berkekalan dengan kekalnya kerajaan Allah."

Pencak Pukulan Tiga Belas. Gabungan dua beladiri yang tiada mempunyai nama pada awalnya. Namun wujud gurunya dan permulaannya. " Silat ini tiadalah bernama, tidak pernah juga aku letak akan namanya.. letakkanlah angka 9 akan namanya..." Maka sembilan itulah salah satu dari duanya, sebelum 13 menjadi namanya. Kerana yang satu itu lagi hanyalah empat akan tapaknya. Buat mendirikan batang tubuh yang belum tahu akan untung nasibnya. Pesan Pak Tua semasa berkelana di Kota Tinggi. Telah pun arwah guruku yang satu ini, tujuh hari sebelum arwah menghela nafasnya yang terakhir, sempat mengajarkan aku akan empat tapak yg diamalkan dan dipeliharanya. Amatlah mudah, ringkas dan berkesan dipelbagai keadaan. Lalu diilhamkan gelarannya permainan ini, Penchak Pukulan 13. 9+4=13. Jurusannya didirikan pada dasar lima tangan, empat kaki & empat tapak. Mudah-mudahan usaha mengembangkan Penchak ini membuahkan hasil dalam memartabatkan Silat pada Bangsanya. Memupuk semangat pada anak bangsa dan pewaris seterusnya tentang betapa pentingnya perjuangan sebuah bangsa, betapa pentingnya Silat dalam memartabatkan Agama dan Bangsa. InsyaAllah, mudah-mudahan lantaran usaha yang berdikit-dikit ini, mendapat berkat dan sinaran Rahmat dari Allah swt.

>> MAKA, APAKAH BEKALAN SERTA SAKI BAKI PENGETAHUAN YANG ANDA TINGGALKAN UNTUK GENERASI AKAN DATANG??

PANGLIMA HITAM


Dikisahkan serba sedikit tentang Panglima Hitam yang digeruni akan namanya dan siapakah MEREKA...

Seringkali diceritakan kepada semua tentang Panglima Hitam yang mana pergerakan silatnya amat pantas dan licik serta mampu menghapuskan musuh dengan sekelip mata sahaja. Ada yang terkeliru mengatakan bahawa Panglima Hitam itu adalah namanya dan hanya ada satu sahaja di Tanah Melayu. Akan tetapi jika tuan hamba beranggapan begitu, ternyata tanggapan tuan hamba tidak tepat kerana Panglima Hitam ini hanyalah GELARAN bagi Pahlawan Di-Raja yang diberikan oleh Sultan kepada hulubalangnya yang terpilih kerana sifat kependekarannya yang hebat dan sifat amanahnya. 


Tiada siapa yang mengetahui siapakah gerangan Panglima Hitam yang bertindak sebagai pengawal keselamatan istana atau dengan erti kata lain, "Pembunuh Suruhan Raja." seraya bolehlah digelarkan "Ninja Melayu." Hanya Raja dan Panglima Hitam sahaja yang mengetahui rahsia ini. Setiap Istana ada Panglima Hitam yang tersendiri dan empunya bandannya adalah berbeza-beza. Raja-raja akan menyediakan sepersalinan lengkap buat Panglima Hitam tersebut ketika dalam pelantikannya untuk dipakai ketika pertempuran sulit. Sepersalinan lengkap buat Panglima Hitam adalah serba hitam dari kepala hingga ke kaki, baik bajunya, tanjaknya, seluarnya, selempangya, bengkungnya, dan sampinnya.

Penulis : Saudagar Tekua

~ al-Kisah yang hilang ratusan tahun dahulu ~

Untuk keterangan dan pelbagai jenis Busana Melayu Purba sila lawati blog :-
http://saudagar-tekua.blogspot.com

Risalah Warisan Bangsa...

Dari satu gelanggang ke satu gelanggang,
Dari rantau ke serata rantau,
Membentuk jatidiri melalui persilatan,
Menjadi bekalan ketika di perantauan...

Anak dagang menggalas bekalan,
Bukanlah makanan menjadi bekalan,
Eloklah bahasa eloklah badan,
Pekerti dijaga silaturrahim berpanjangan...